Asal-usul nama Pahang
Berabad-abad dahulu, Pahang Darul Makmur mempunyai pelbagai nama. Penulis Cina menggelarnya sebagai Pang-Hang, Peng-Heng, Pang-Heng, Pong-Fong, Phe-Hang, Pang-Kang, dan lain-lain. Di dalam buku yang berjudul Chu-Fan-Chi yang diterbitkan pada 1225, Choa Ju-Kua mengatakan bahawa antara negeri yang diserang oleh San-Fo-Chi ialah sebuah negeri yang digelar Peng-Keng, iaitu Pahang. Rekod yang lain termasuklah buku yang ditulis oleh Fei Shin (1436), dan buku Nagarakertagama yang ditulis oleh Mpu Prapanca (1365).[1]Pada zaman itu, orang Arab dan orang Eropah menggelar Pahang sebagai Pam, Pan, Phang, Paam, Poa, Paon, Phamm, Paham, Fanhan, Phang, dan Pahagh. Ahli sejarah G.R Tibbets yang mengulas tentang sebuah cerita yang ditulis oleh Al-Masudi, ahli sejarah dan ahli geografi Arab yang juga dikenali sebagai "Herodotus Arab", mempercayai bahawa Fanjab yang disebut di dalam buku itu ialah Pahang. Bagaimanapun, dia berpendapat bahawa nama Fanhan atau Panghang/Panhang adalah lebih tepat, berbanding dengan Fanjab.
Sesetengah orang mengatakan bahawa nama 'Pahang' berasal daripada salah satu bahasa orang asli Thailand yang membawa pengertian 'bijih'. Orang asli tersebut tinggal di kawasan ini dan membuka banyak kawasan pelombongan, khususnya di Sungai Lembing. Sebaliknya, menurut sebuah cerita Melayu yang lama, sebatang pokok 'mahang' raksasa yang tumbuh berhampiran Sungai Pahang jatuh menyeberangi sungai itu dan justera, nama negeri itu dilahirkan.
Pada zaman itu, Pahang juga dikenali sebagai 'Inderapura' atau 'Pahang Inderapura', dengan Pekan, bandar diraja yang terkenal untuk Pahang dan pada suatu ketika, juga untuk Kesultanan Melaka, dikenali sebagai 'Pura'.
Zaman prasejarah
Ahli arkeologi telah melakukan banyak penyelidikan dan kerja ekskavasi di beberapa tempat di Pahang. Tapak arkeologi yang popular termasuklah gua, gunung, tebing sungai, dan kawasan pelombongan yang lama, serta sebilangan ruang terbuka. Antara artifak yang ditemui ialah alat batu, tembikar, dan alat gangsa, serta alat besi.Tapak arkeologi yang terkenal di Pahang termasuk:
- Kota Tongkat, Kota Gelanggi (berhampiran Jerantut), Tersang (Kuala Lipis), Nyong, Kampung Batu Pasir Garam, dan Kampung Pagi (titik pertemuan Sungai Tembeling dengan Sungai Pahang);
- Gua Kecil (Raub);
- Gunung Senyum, Bukit Chintamanis (Karak), Gunung Tongkat, Gunung Kecil, Gunung Bama, Gunung Kota Gelanggi, dan Bukit Jong;
- Sungai Lembing, Sungai Selinsing, Sungai Tui, dan Teluk Lubuk Puai.
Banyak alat pertanian telah ditemui di bawah tanah, termasuklah kepala lembing, pisau, sabit, cangkul, dan alat besi lain yang luar biasa. Artifak itu ditemui di sebilangan tempat, termasuk tebing Sungai Lembing, Teluk Lubuk Puai, dan Bukit Jong (di tebing Sungai Lipis). Ahli arkeologi mempercayai bahawa alat itu dibuat oleh orang dari Zaman Batu terakhir, iaitu Zaman Neolitik.
Di Kampung Batu Pasir Garam (di tebing Sungai Tembeling) pula, ahli arkeologi telah menemui satu serpihan Dram Dong S'on, dram kuno yang diperbuat daripada gangsa dan digunakan oleh orang yang mengamalkan Budaya Gangsa. Dr. Linehan menyatakan bahawa Dram Dong S'on ini dibuat di Indochina dan dibawa ke Ulu Tembeling dari Funan pada sekitar abad ke-3, bersama-sama dengan alat besi kuno yang lain.
Menurut ahli antropologi dan ahli sejarah, orang Melayu Deutero ialah nenek moyang kepada orang Melayu yang tinggal di daerah pantai di Semenanjung Tanah Melayu. Pada zaman kuno, Pahang juga dihuni oleh manusia Zaman Batu Pertengahan serta manusia Neolitik (manusia Zaman Gangsa awal), selain daripada orang asli (puak Semang).
Pemerintahan beraja negeri
Pada abad ke-15, sistem pemerintahan beraja diasaskan di Pahang, dengan sultan pertama merupakan Sultan Muhammad Shah (1469-1475), putera Sultan Melaka. Keturunannya meneruskan pemerintahan Pahang selama melebihi 200 tahun, dengan Sultan Mahmud Shah yang mangkat pada 1699 merupakan sultan terakhir daripada keluarga diraja itu. Selepas kemangkatannya, kuasa diambil alih oleh keluarga Bendahara Tuan Habib Abdul Majid, Padang Saujana, yang mengasaskan pengaruh Riau-Lingga yang tersendiri.Orang Inggeris tiba di Pahang dan mengasaskan hegemoni terhadap negeri ini pada akhir abad ke-19, dengan J. P. Rodger dilantik sebagai Residen yang pertama pada Oktober 1888. Keutamaannya adalah untuk memusatkan semua kerja pentadbiran. Pada mula-mulanya, Pekan dipilih sebagai pusat pentadbiran tetapi selepas tiga tahun, pusat itu dipindahkan ke Kuala Lipis.
Sesungguhnya, harapan kekayaan daripada timah dan emas di kawasan pedalaman tidak memenuhi jangkaan kerajaan British serta juga orang tempatan. Kerajaan British gagal menarik lebih banyak pedagang dan pelombong Cina ke Kuala Lipis dan akhirnya, diakibatkan oleh perbelanjaan kerajaan yang besar,[2] satu rancangan dibuat untuk memindahkan pusat pentadbiran ke tempat baharu yang kekal pada 1901. Sesungguhnya, keputusan terakhir tidak dibuat sehinggalah 52 tahun kemudian pada 2 Mac 1953. Ketika itu, kerajaan British menimbang dua tempat, iaitu Temerloh-Mentakab, dan Kuantan. Yang pertama itu memiliki masalah tanah yang tidak rata dan justera, memerlukan wang yang banyak untuk membangunkan. Lantaran, Kuantan dipilih sebagai ibu negeri yang baharu. Almarhum Sultan Abu Bakar mengisytiharkan Kuantan sebagai ibu negeri yang baharu pada 27 Ogos 1955, dengan semua kerja pentadbiran dipusatkan pada 28 Februari 1970 di Wisma Sri Pahang yang baru dibina.
Sistem pengangkutan awal
Pada zaman dahulu, Sungai Pahang, Sungai Kuantan, Sungai Bebar, Sungai Rompin, Sungai Endau, Sungai Tembeling, Sungai Jelai, Sungai Semantan, dan sungai lain yang lebih kecil dipergunakan sebagai laluan pengangkutan yang utama untuk membuat perjalanan antara daerah dan ke negeri yang lain. Seseorang yang hendak ke Kelantan boleh menggunakan Sungai Tanum (cawang Sungai Jelai) atau Sungai Sat dan Sungai Sepia (kedua-duanya cawang Sungai Tembeling), dengan Sungai Sepia juga boleh dipergunakan untuk membuat perjalanan ke Terengganu. Sungai Semantan dan cawang-cawangnya digunakan untuk membuat perjalanan ke Selangor, namun laluan ke Perak menerusi Sungai Bertam dan Sungai Lipis (kedua-duanya cawang Sungai Jelai) lebih sukar.Laluan utama yang digunakan pada zaman dahulu ialah laluan yang menghubungkan Pahang dengan daerah-daerah di Hulu Muar dan Melaka. Laluan sungai ini ke hulu Sungai Pahang mengikut Sungai Berat, cawangnya, lalu mengikut Sungai Serting. Di hujung Sungai Serting, perahu perlu ditarik merentasi daratan sepanjang 300 ela. Justera, tempat itu digelar 'Penarikan'. Laluan itu kemudian menghilir Sungai Jempol masuk ke Sungai Muar. Dari Muar, seseorang boleh pergi ke Melaka dan tempat yang lain di pantai barat Semenanjung Tanah Melayu. Laluan inilah yang diikuti oleh Sultan Mahmud Shah dan puteranya, Sultan Ahmad, dari Melaka sewaktu ditewaskan oleh orang Portugis pada 1511 di Pagoh dan Bentayan. Laluan yang sama itu juga digunakan oleh Sultan Ali (putera Sultan Husain Shah dari Singapura) dari Kampung Umbai, Melaka ke Pahang untuk bertemu dengan Bendahara Wan Ahmad Pahang (Pekan) pada 1863. Gadinho de Eredia, seorang penulis dan pegawai Portugis di Melaka mengatakan pada 1613 bahawa "pergi ke Pahang dari Melaka atau balik menerusi Penarikan mengambil masa enam hari."

Perahu jalak merupakan satu-satunya ragam pengangkutan yang utama di Pahang sebelum pengenalan jalan raya oleh kerajaan British pada 1920-an.
Sebelum jalan raya dari Jerantut ke Kuantan disiapkan, para pegawai di Ulu Pahang yang hendak ke Kuantan atau Pekan perlu menggunakan perahu dan rakit menghilir Sungai Pahang.
Selepas beberapa tahun di bawah pentadbiran British, kerja pembinaan jalan raya dimulakan. Sebatang jalan raya sepanjang 18 batu dari Kuantan ke Kuala Lipis disiapkan pada 5 September 1910. Pada 1918, jalan raya Jerantut-Kuantan dipanjangkan untuk berhubung dengan Kuala Lipis. Pada akhir 1933, jalan raya dari Pekan ke Kuantan dibuka secara rasmi.
Sistem pengangkutan dan komunikasi di Pahang diperbaik lagi dengan pembinaan jambatan, lapangan terbang, dan pelabuhan. Ini memendekkan dan memudahkan perjalanan dan komunikasi dari satu tempat ke satu tempat di Pahang Darul Makmur, serta juga ke seluruh Semenanjung Tanah Melayu dan negara berjiran seperti Singapura di selatan dan Thailand di utara.
No comments:
Post a Comment